fbpx

Mahkamah: Seorang lagi ahli Geng Sakai didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang Geng Sakai, menjadikannya individu ke-24 didakwa atas kesalahan itu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada G. Rajasekeran, 32, ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab. Razak.

Lelaki tersebut didakwa melakukan perbuatan itu tujuh tahun lalu di antara Januari 2015 dan 20 Jun 2021 di Flat Sri Selangor, Jalan San Peng di sini.

Rajasekeran diwakili oleh peguam Fakhrul Redha Paridul Adras.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Maryam Jamielah Ab. Manaff mengemukakan permohonan agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan bersama 23 tertuduh lain.

Beliau yang hadir bersama-sama B. Thavani memaklumkan, pihak pendakwaan telah mendapat izin untuk memindahkan kes itu untuk didengar di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Ujar Maryam Jamielah, setakat ini seramai 20 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan.

Permohonan itu dibenarkan dan kes itu akan dipindahkan pada satu tarikh yang lain.

Pada 24 September 2021, seramai 22 lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi ini atas pertuduhan menyertai kumpulan jenayah terancang Geng Sakai.

Rosli Sahak yang dikenali sebagai `Sakai’ dipercayai ketua kumpulan itu bersama 21 yang lain memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan.

Mereka ialah A. Ravindran, A. Uthayakumar, S. Sathiaseelan, T Kumar, A. Kumaresan, N Tanasilan, Thirumal Raj, M. Darshan, A Dineswaran, S Mohanraj dan R. Nantha Kumar.

Tertuduh lain termasuk S. Gobinath, M. Ravishankar, M. Thinesh, N. Tannish, S. Sagadevan, Mohamad Faisal Mohamad Sharif, Sukhdave Singh Jesvir Singh, R. Logeswaran, R. Tannesh dan A. Jayaprakash.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh yang berusia antara 18 dan 47 tahun, didakwa melakukan perbuatan itu pada waktu dan di tempat yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun,  jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI