fbpx

Luis Suarez kembali sertai kelab zaman remaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUAREZ meninggalkan Nacional pada 2006 untuk berkelana ke Eropah. – AFP

MONTEVIDEO – Penyerang veteran Uruguay, Luis Suarez akhirnya membuat keputusan untuk ‘pulang kampung’ dengan mengesahkan penghijrahan ke bekas kelab yang diwakili ketika remaja, Nacional selepas menandatangani kontrak secara percuma semalam.

Sebagai rekod, Suarez yang kini berusia 35 tahun pernah mewakili kelab gergasi Uruguay itu pada usia 14 tahun bermula 2001 sebelum berkelana ke beberapa liga Eropah bermula 2006 hinggalah tamat kontrak bersama Atletico Madrid musim lalu.

Suarez yang dianggap sebagai salah seorang penyerang terbaik era moden berjaya meledak lebih 500 gol buat negara serta beberapa kelab yang diwakilinya seperti Ajax Amsterdam, Liverpool dan Barcelona.

Malah, Suarez juga berjaya menjulang banyak trofi berprestij seperti lima gelaran La Liga, satu trofi Liga Juara-Juara Eropah, Liga Belanda, Piala Liga Inggeris dan Copa America selain Liga Uruguay ketika mewakili Nacional.

“Saya sangat teruja untuk kembali menyarung jersi kelab ini selepas hampir 16 tahun mengembangkan sayap di Eropah. Sukar untuk saya tolak lamaran yang diberikan pengurusan Nacional.

“Terima kasih juga kerana menyokong karier saya selama ini. Tidak sabar untuk berjumpa anda selepas ini,” kata Suarez secara ringkas.

Difahamkan, beberapa kelab Eropah cukup berminat untuk menandatangani Suarez pada jendela perpindahan kali ini seperti Aston Villa dan Borussia Dortmund, tetapi ditolak secara baik.

Malah, kelab Liga Bola Sepak Amerika Syarikat (MLS), Inter Miami turut menyatakan hasrat untuk mendapatkan khidmat Suarez turut gagal direalisasikan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI