fbpx

Letakkan bidang seni di tempat sepatutnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norfazira bersama kumpulannya, Nama The Music terpilih sebagai finalis dalam program antarabangsa Asia’s Got Talent musim ke 3.

“JIKA diikutkan, karier saya sebagai seorang penyanyi bermula sejak berumur 10 tahun lagi.

“Ketika itu, saya sering dijemput untuk menyanyi di majlis-majlis perkahwinan,” kata Norfazira Malik, 27.

Kerana minat mendalam dalam bidang seni tersebut, sehingga kini dia menjadikan bidang nyanyian sebagai satu karier.

Walaupun tidak menjadi artis arus perdana, dia sering menerima undangan nyanyian untuk majlis-majlis tertentu.

“Untuk undangan nyanyian, saya sangat terbuka. Tidak kira majlis atau program apa sekalipun, sekiranya ia bersesuaian dengan imej saya sebagai wanita berhijab, saya akan menyertainya.

“Kebanyakan majlis yang sering saya terima undangan termasuklah majlis makan malam, berbuka puasa, sambutan hari raya serta perkahwinan,” ujarnya.

Tambahnya, dia gembira apabila dapat menghiburkan tetamu untuk sesuatu majlis dengan dendangan lagu.

Dalam pada itu, untuk menjadikan bidang nyanyian sebagai satu kerjaya, Norfazira turut mendapatkan pendidikan formal dalam bidang seni bagi menambah ilmu.

Katanya, sejak kecil dia begitu berminat dengan bidang seni yang meliputi nyanyian, tarian dan lakonan.

Minat dalam bidang seni tersemat di jiwa Norfazira sejak kecil.

Pada ketika itu, dia mempunyai keinginan untuk terus belajar dengan lebih mendalam dalam bidang tersebut.

Akhirnya dia memilih untuk mendapatkan pendidikan dalam bidang kesenian di Sekolah Seni Malaysia Johor yang terletak di Masai.

“Selepas itu, saya melanjutkan pelajaran dalam program asasi serta Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan di Universiti Malaya (UM).

“Saya memilih untuk melanjutkan pelajaran di UM kerana ingin membuktikan kepada orang ramai bahawa bidang seni juga layak untuk berada di universiti terbaik di Malaysia.

“Seni juga bukan satu bidang yang wajar dipandang rendah,” jelasnya yang sudah bergelar graduan.

Dalam pada itu, dalam setiap kerjaya ada cabarannya tersendiri termasuk menjadi anak seni.

Bagi Norfazira, cabaran adalah sebahagian daripada kehidupan dan dia tidak menyesal dengan jalan yang dipilih.

“Sejujurnya, setelah memilih untuk meneruskan bidang seni ini sejak kecil, saya mendapat pandangan dan persepsi negatif daripada ramai orang.

“Tetapi saya cuba untuk membuktikan, bidang ini juga mempunyai masa depan yang cerah,” katanya.

Tambahnya, rezeki seseorang itu telah diatur oleh Allah dan jika sentiasa berusaha keras dan selalu bermunajat kepada-Nya, rezeki pasti akan sentiasa mencukupi.

Sepanjang penglibatan sebagai anak seni, Norfazira turut mempunyai pelbagai kenangan manis yang akan sentiasa dikenang olehnya.

“Kalau nak dikatakan kenangan manis tu terlalu banyak.

“Paling bermakna buat saya sebagai seorang penggiat seni dalam bidang nyanyian ini adalah apabila kumpulan saya, Nama The Music terpilih sebagai finalis dalam program antarabangsa, Asia’s Got Talent musim ke 3.

“Itu merupakan kenangan manis bagi saya kerana dapat mengharumkan nama negara dan telah dipilih oleh juri-juri antarabangsa untuk layak ke peringkat akhir,” bicaranya.

Dalam pada itu, Norfazira juga berkeinginan dan berharap untuk mempunyai lagu sendiri pada suatu hari nanti.

“Tetapi bagi saya, itu semua tergantung pada rezeki. Insya-Allah, sekiranya masanya tiba, segalanya akan dipermudahkan.

“Harapan saya dalam bidang ini salah satunya adalah ingin menjadi penyanyi yang versatil.

“Impian saya agar boleh membawakan lagu tradisional dan moden dengan lebih baik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN