fbpx

Lelaki Singapura cuba ‘curi’ subsidi isi RON95

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap Layar video memaparkan pemandu kereta bernombor pendaftaran Singapura mengisi petrol RON95 disyaki berlaku di Taman Century, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU – Tindakan pemandu kereta mewah jenis Mercedes Benz bernombor pendaftaran Singapura berjaya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) sebuah stesen minyak di sini ketika dipercayai mengisi petrol RON95.

Video berdurasi kira-kira 70 saat yang tular di media sosial itu menunjukkan kejadian yang dilaporkan berlaku pada pukul 6.55 pagi di Taman Century, di sini semalam.

Menerusi perkongsian video itu, kelihatan seorang lelaki berbaju putih dengan sengaja mengangkat nozel berwarna kuning iaitu minyak petrol RON95 untuk dituangkan ke tangki keretanya.

Tindakan lelaki tersebut disedari oleh pekerja di stesen minyak tersebut yang memberi signal kepada pekerja di kaunter untuk menghentikan tindakan tersebut.

Setelah menyedari perbuatannya diketahui pekerja stesen minyak terbabit, lelaki itu kemudian meletakkan semula nozel berwarna kuning sebelum cepat-cepat meninggalkan premis tersebut.

Difahamkan, lelaki Singapura itu sempat mengisi 13 liter petrol RON95 dalam tempoh yang singkat itu sebelum beredar tanpa membuat pembayaran.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro ketika dihubungi berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai kejadian tersebut.

“Berhubung tindakan pemandu kereta bernombor pendaftaran Singapura yang melanggar peraturan itu, pihak kami akan menyiasat mengenainya.

“Kami perlu menyiasat dan mendapatkan maklumat terlebih dahulu,” jawabnya ringkas. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI