fbpx

Lelaki didakwa tendang muka isteri kerana cemburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Gara-gara cemburu, seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menendang muka isterinya sehingga cedera, awal bulan ini.

Tertuduh, Danial Dallas Abdullah, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabiha Mohd. Noor.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada isterinya, Norazlinda Ali, 41, dengan cara menendang mukanya.

Tindakan itu dilakukan kira-kira pukul 8 malam di sebuah kediaman di Taman Kesidang, dalam daerah Melaka Tengah pada 4 Julai lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000 mengikut Seksyen 323 dan dibaca bersama 326A Kanun Keseksaan.

Difahamkan tertuduh yang telah mendirikan rumah tangga selama 12 tahun melakukan perbuatan itu selepas mendakwa isterinya yang bekerja di sebuah kedai makan menjalinkan hubungan sulit.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dikenakan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon jaminan rendah diberikan dengan alasan perlu menanggung dua orang anak dengan gaji bulanan RM1,200.

Selepas mendengar rayuan kedua pihak mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 20 September untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI