KOTA BHARU – Penduduk di beberapa buah kampung termasuk di Mukim Pendek telah mengadakan solat hajat di Masjid Tunjong di sini pada malam Jumaat lalu sebagai ikhtiar agar gangguan ketukan misteri tanpa salam tidak berulang lagi.
Bekas penggawa, Wan Azizi Wan Abd. Ghani, 57, berkata, sejak lebih seminggu lalu, gangguan misteri tersebut tidak berlaku lagi dan penduduk kampung kini sudah boleh tidur lena.
“Semua penduduk terutamanya di lima buah kampung di Mukim Pendek berharap tiada lagi gangguan ketukan misteri berlaku selepas ini.
“Sebelum ini, ketukan misteri tanpa salam itu menyebabkan ramai penduduk hidup dalam ketakutan terutamanya pada waktu malam,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Menurutnya, sebelum ini ada penduduk mendakwa beberapa buah rumah di Kampung Pauh Butut yang terletak berhampiran Mukim Pendek turut diganggu ketukan misteri.
Bagaimanapun, katanya, kejadian itu tidak dapat disahkan kerana tiada sesiapa yang mengadu atau membuat laporan kepada jiran-jiran mereka mengenai gangguan tersebut.
Berita berkaitan: Penduduk 5 kampung mukim Pendek diganggu ketukan misteri
Seorang penduduk yang dikenali sebagai Lijah, 50, berkata, rumahnya turut diganggu ketukan misteri ketika sedang nyenyak tidur minggu lalu.
Katanya, suami sudah mengunci pintu jeriji rumah sebelum tidur, namun ia dilihat terbuka pagi keesokan harinya.
“Nasib baik tiada barang yang hilang di rumah. Saya bersyukur apabila gangguan itu sudah tiada, sekali gus membuatkan penduduk dapat tidur nyenyak pada waktu malam,” ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, selepas lama menyepi, bunyi ketukan misteri tanpa salam yang pernah berlaku di Selangor, Melaka, Pahang, Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini kembali menghantui penduduk.
Kali ini, penduduk di 50 buah rumah di lima kampung di Mukim Pendek hidup dalam ketakutan apabila rumah mereka sering diganggu dengan ketukan misteri sejak dua minggu lalu.
Rumah penduduk di Kampung Lating, Kampung Belimbing, Kampung Keling, Kampung Pulau Gajah dan Tunjong di sini dikatakan sering diketuk bermula kira-kira pukul 1.45 pagi.