SELEPAS dipinjamkan waktu hanya selama tiga hari sebelum anugerah dari syurga yang diberi nama Khairul Afnan diambil semula oleh Pencipta pada September tahun lalu, penyanyi Azmi Saat mengakui pernah mengajak isterinya, Nazirah Muhamad melakukan rawatan kesuburan untuk sekali lagi berusaha mendapatkan zuriat cinta.
Tidak mahu terlalu memperincikan isu tersebut, Azmi atau nama sebenarnya, Khairul Azmi Mohd. Saat, 34, sejujurnya takut tersilap kata. Dia risau jika pertuturannya kelak menghiris perasaan si isteri.
“Saya ada juga suarakan kepada isteri (nak buat rawatan) ketika dia macam dah okey dan sudah boleh kawal emosi. Seingat saya dalam awal tahun ini.
“Takut juga nak tanya tapi saya beranikan diri sebab waktu itu, ada rezeki lebih sikit. Saya cadangkan sama ada nak buat rawatan.
“Dia cakap belum bersedia sebab takut kehilangan lagi. Tapi, katanya kalau Tuhan bagi (anak) secara semula jadi, dia memang seronok.
“Saya hormati keputusan isteri dan kami tidak lagi bercakap soal anak selepas itu. Jadi kami sentiasa penuhkan masa dengan aktiviti yang menggembirakan,” kata Azmi usai pelancaran single terbaharunya berjudul Permataku di pejabat Indigital Music, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Perasaan
Reda dengan ketentuan Ilahi apabila kehilangan anak pertama yang hanya seketika berada dalam pangkuannya, kata Azmi, buat masa sekarang, apa yang penting adalah emosi si isteri.
“Sekarang ini, sekali atau dua kali sebulan mesti dia akan pergi kubur anak. Kalau tak pergi, dia akan jadi sedih.
“Alhamdullillah, isteri saya tidak meroyan. Sebab itu, saya kena sentiasa berada di sisinya walau apa jua keadaan.
“Mak saya pesan jangan tinggalkan isteri seorang diri terutama selepas apa yang terjadi,” katanya.
Sementara itu, ditanya tentang bagaimana dirinya berdamai dengan takdir selepas apa yang berlaku, Azmi memaklumkan, apa yang terjadi pasti ada hikmahnya dan dia reda.
“Dapat azankan, berada di sisinya saat akhir, nafas akhir pun atas riba saya. Saya sempat mandikan dan waktu ke bumi pun saya ada.
“Saya puas walaupun sekejap. Balik daripada pengebumian, memang saya menangis tapi sambil itu, saya bersyukur kepada Allah atas nikmat rezeki yang Dia bagi.
“Selepas itu, rasa sedih itu hilang. Bukan hilang terus cuma tak teringat-ingat sangat. Dua bulan saya berehat daripada terima sebarang persembahan untuk sembuh dari ‘luka’ itu,” katanya.
Kehilangan anak
Diajak berbicara tentang single terbaharunya, Permataku, Azmi mengakui tersentuh apabila merakamkan lagu yang sedikit sebanyak mempunyai kaitan dengan tragedi kehilangan melibatkan diri sendiri.
“Sebenarnya lagu ini sudah ada sebelum anak saya lahir lagi.
“Saya dan Ajai berbincang untuk merakamkan sebuah lagu sempena kelahiran orang baharu ketika itu.
“Apabila anak hanya sempat melihat dunia seketika sahaja, kami ada berbincang semula mengenai lirik dan sebagainya.
“Daripada perbincangan itulah kami mengubah sedikit hujung lagu ini sebagai ‘tanda’ kehilangan.
“Apa-apa pun lagu ini bukanlah berkisahkan tentang kehilangan anak sahaja.
“Apa-apa keadaan pun kita boleh kaitkan berdasarkan pemahaman masing-masing,” jelas Azmi.
Azmi juga berbesar hati apabila Ahmad Fedtri Yahya menterjemah apa yang telah dirasai dan sedang dilalui menerusi bait-bait lirik yang begitu indah dan mencengkam jiwanya.
“Apabila mendengarkan sahaja lirik tersebut buat kali pertama, saya gembira sebab memang merupakan isi hati saya.
“Tak ada sebarang perubahan yang dilakukan kerana saya percaya ini yang terbaik. Tapi apabila kami memulakan penggambaran video muzik (MV), pihak produksi ada bertanyakan sama ada boleh mengaitkan gambaran anak atau tidak.
“Saya okey sahaja memandangkan ini memang idea asal.
“Mungkin mereka risau saya akan bersedih dan sebagainya,” katanya dengan harapan sambutan hangat akan diberikan oleh peminat.
Kerjasama dengan Ajai
Bercerita mengenai kerjasama dengan Ajai pula, Azmi bersyukur kerana banyak diberikan tunjuk ajar oleh seorang komposer berpengalaman sepanjang proses rakaman berlangsung.
Ajai bukan sahaja memberikan banyak ilmu baharu kepadanya malah memberikan semangat kepadanya untuk terus kuat dalam menghadapi episod duka pasca kehilangan insan tersayang.
“Ini merupakan kerjasama pertama saya dengan Ajai. Memang pada awalnya saya berdebar memandangkan ramai yang menganggap dia garang ketika menjadi juri untuk kebanyakan program televisyen.
“Tapi bila sudah berjumpa, sangat berbeza. Dia banyak memberikan ilmu baharu kepada saya dan mengajar banyak teknik nyanyian serta memperbetulkan mana yang kurang,” tambah Azmi lagi.