PETALING JAYA – Ireka Corporation Berhad (Ireka) melalui anak syarikatnya, Ireka Engineering & Construction Sdn. Bhd. (IECSB) telah menghantar permohonan untuk pengurusan perundangan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk memulih dan mengukuhkan kedudukan kewangan dan juga Kumpulan secara keseluruhan.
Permohonan tersebut juga adalah sebahagian daripada pelan komprehensif yang dilaksanakan oleh pengurusan baharu bagi membolehkan Kumpulan kembali mencatat keuntungan dalam jangka masa sederhana.
Pengarah Urusan Ireka Group, Mohd. Hasnul Ismar Mohd. Ismail berkata, permohonan tersebut adalah perlu dan penting untuk dilaksanakan bagi menguruskan isu berkaitan hutang IECSB yang mana ia memberi kesan kepada kedudukan Kumpulan dalam Nota Amalan 17 (PN17) dan keupayaan untuk bergerak kehadapan.
“Adalah penting untuk membantu Kumpulan pulih kembali dan menyusun semula keadaan kewangan, menjana aliran tunai sambil menstruktur semula hutang.
“Secara ringkasnya, pelan Ireka untuk keluar daripada PN17 akan melibatkan pembayaran hutang dan penyusunan di bawah pengurusan perundangan yang mana kedua-duanya akan direka dan dilaksanakan secara serentak.
“Dengan mempercepatkan usaha ini, ia akan membolehkan Kumpulan terlibat dalam bidaan bagi kerja atau projek baharu dan ia akan membolehkan Kumpulan kembali mencatat keuntungan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Mohd Hasnul, pihaknya berkeyakinan terhadap usaha melantik pengurus perundangan adalah perkara terbaik dilaksanakan oleh Kumpulan bagi membolehkan ia menjejaki proses dengan lebih cepat untuk memulihkan kedudukan kewangan Kumpulan.
“Melalui usaha ini, kami akan berada dalam landasan yang baik untuk mencatat keputusan kewangan yang kukuh, untuk menyahut cabaran yang telah memberi kesan kepada IECSB dan melambatkan proses pemulihan semula bagi Ireka.
“Ia juga akan membolehkan kami keluar daripada status PN17 dan membolehkan kami kembali membina dan membangunkan perniagaan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE