TAIPING – Dua orang sahabat dari berlainan negeri tidak menyangka penyertaan mereka dalam pertandingan reka cipta logo dan mencipta slogan sempena ulang tahun ke-150 bandar Taiping membuahkan hasil dengan menjuarai dua kategori yang dipertandingkan.
Mohammad Aiman Abdullah, 30, yang berasal dari Perlis berkata, dia mengambil masa empat hari bagi menghasilkan logo Taiping 150 tahun setelah membuat kaji selidik terlebih dahulu.
“Awalnya saya ingin masuk pertandingan dalam mencipta slogan, namun tarikh penyertaannya telah tamat tempoh.
“Lalu saya mencuba nasib untuk menyertai mereka cipta logo dan itu pun hampir pada saat akhir dan tidak menyangka memenangi tempat pertama,” katanya di sini hari ini.
Dia yang bekerja sebagai pegawai tadbir di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) turut melahirkan rasa syukur dan gembira setelah mengetahui sahabatnya, Abdul Mozaid Hasbullah,31, turut mendapat tempat pertama dalam pertandingan mencipta slogan yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Taiping (MPT).
Abdul Mozaid yang berasal dari Alor Setar, Kedah juga turut melahirkan kesyukuran setelah mendapati slogan yang diciptanya meraih tempat pertama pada pertandingan itu.
“Alhamdulillah, slogan Kelestarian Warisan Mendepani Urbanisasi yang dihasilkan berjaya terpilih menduduki tempat pertama.
“Saya juga turut berasa gembira kerana logo hasil ciptaan sahabat saya juga memenangi di dalam pertandingan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE