fbpx

Lima maut: Mangsa terselamat bersyukur masih boleh buka mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAZWAN HAFIS masih sukar melupakan tragedi 17 Julai lalu yang mengorbankan lima penunggang motosikal termasuk abang kembarnya, Muhamad Shazwan Hakim. – IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN – Seorang mang­sa yang terselamat dalam nahas melibatkan beberapa buah motosikal di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, Gelugor pada 17 Julai lalu kini masih sukar melupakan tragedi yang mengorbankan lima individu termasuk kembarnya.

Muhamad Shazwan Hafis Mohd. Abdul Sani, 22, berkata, kejadian itu menyebabkan dia kehilangan abang kembar, Muhamad Shazwan Hakim, iaitu kira-kira empat bulan selepas kematian adik ketiga, Muhamad Shazril Haikal, 20.

“Daripada bertiga (adik-beradik lelaki termasuk Muhamad Shazril), kini tinggalah saya seorang. Nahas yang berlaku pada awal pagi 17 Julai lalu memang saya tak ingat. Apa yang saya tahu, kami hanya mahu tolong satu kejadian kemalangan di situ.

“Selepas itu dan dalam kea­da­an separuh sedar, saya dibe­ritahu yang abang kembar saya sudah tiada. Saya mula sedar semasa berada di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan menangis sampai tak keluar air mata bila dapat tau abang sudah tiada,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Batu Maung di sini semalam.

Akibat kemalangan itu, Shaz­wan Hafis patah empat jari pada kaki kiri, urat pergelangan kaki kanan terputus, patah tulang pipi kiri dan retak pada tengkuk.

Cerita Shazwan Hafis lagi, sebelum kejadian, dia dan abangnya­ hanya keluar bersiar-siar sambil bekerja sebagai ‘runner’ insurans.

“Kami keluar sambil buat kerja. Memang tak rasa apa-apa malam itu cuma tengok ramai mat-mat motor keluar termasuk ada yang dikatakan datang dari Seberang Perai. Jumlahnya (motosikal) memang luar biasa berban­ding sebelum ini.

“Saya bersyukur kerana masih boleh buka mata. Allah panjangkan umur saya walaupun ramai yang meninggal dunia.

“Memang sudah tertulis yang perkara (kemalangan) ini akan berlaku. Sudah nasib kami nak kena dan bukannya kami mau (minta) berlaku. Sudah-sudahlah kecam ibu bapa kami, mereka juga ada perasaan,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Masitah Md. Isa, 44, mengakui sudah boleh menerima hakikat akan kehilangan seorang anak kembar, Shazwan Hakim akibat kemalangan tersebut.

“Saya reda dengan apa yang berlaku (kehilangan dua anak selang empat bulan). Anak hanya pinjaman Allah. Menangis macam mana sekali pun, memang tak akan kembali,” katanya.

Kemalangan kira-kira pukul 4.30 pagi itu turut mengorbankan Muhammad Eizreel Muhamad Roszadi, 25; Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19; Muhammad Harith Zikri Yusnizar, 17, dan Mohd. Haziq Harris, 34.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI