fbpx

Agrobank guna perkhidmatan Agronet kutip dana wakaf tunai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Ahmad Badli Shah (kanan sekali) menyerahkan kutipan dana wakaf tunai kepada Wan Mohd. Azizi (dua dari kiri) dalam satu majlis di Kuala Lumpur baru-baru ini.

PETALING JAYA -Agrobank telah  menggunakan fasiliti perbankan internetnya, Agronet di seluruh 140 cawangannya seluruh negara untuk mencapai sasaran kutipan dana wakaf tunai sebanyak RM200,000.

Kutipan tersebut adalah untuk pengisian Program Wakaf Tunai  Mesin Dialisis Agrobank & PICOMS-MAIWP.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, setelah lebih dua tahun sejak perkhidmatan tersebut dilancarkan, bank telah berjaya mengumpul kutipan dana wakaf tunai keseluruhan berjumlah RM206,313.45.

“Kita sedia maklum akan kepentingan wakaf dalam pembangunan sosial dan kebajikan umat Islam dan bagaimana golongan yang berkemampuan turut dapat membantu mereka yang serba kekurangan. 

“Agrobank amat berbesar hati dengan kerjasama  ini dalam menjadi ejen kepada masyarakat untuk menyalurkan dana wakaf bagi memenuhi keperluan kesihatan dengan pembelian mesin hemodialisis ini,” katanya.

Beliau berkata demikian  dalam kenyataan bersempena majlis penyerahan kutipan dana  wakaf tunai terkumpul ini kepada Naib Canselor Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS, Prof Dr. Wan Mohd. Azizi Wan Sulaiman di sini baru-baru ini.

Program Wakaf Tunai Mesin Dialisis Agrobank & PICOMS-MAIWP merupakan kerjasama di antara Agrobank dan PICOMS, anak syarikat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi membantu menangani masalah kekurangan mesin dialisis bagi pesakit-pesakit dalam kalangan orang awam.

Ia juga menyasarkan jumlah kutipan wakaf tunai sebanyak RM600,000 termasuklah dana berjumlah RM400,000 yang telah disalurkan daripada dana khairat produk Agrobank kepada PICOMS pada Disember 2020 sebagai suntikan dan pemangkin kepada program wakaf tunai ini.

Mesin dialisis tersebut akan digunakan untuk rawatan hemodialisis atau pembersihan darah oleh pesakit buah pinggang terutamanya daripada golongan asnaf dan yang kurang berkemampuan yang dikenalpasti dan mendapat pembiayaan dari pihak MAIWP. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI