BANDAR RAYA NEW YORK – Bandar Raya New York meminta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menukar nama virus cacar monyet untuk mengelakkan stigma yang menyebabkan pesakit malu untuk mendapatkan rawatan.
New York merekodkan lebih banyak kes cacar monyet berbanding bandar-bandar lain di Amerika Syarikat (AS) dengan 1,092 jangkitan dikesan setakat ini.
“Kami amat bimbang tentang prejudis virus cacar monyet terhadap komuniti tertentu,” kata Pesuruhjaya Kesihatan Awam Bandar Raya New York, Ashwin Vasan dalam sepucuk surat bertarikh kelmarin kepada Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.
Vasan merujuk kepada sejarah rasis dan penderitaan akibat penggunaan terminologi penyakit termasuk cacar monyet terhadap masyarakat bukan kulit putih.
Beliau berkata, cacar monyet bukan berasal daripada spesies beruk atau monyet seperti yang dicadangkan nama tersebut. Menurutnya, kesilapan maklumat semasa permulaan wabak HIV telah mencetuskan kesan negatif termasuk impak perkauman terhadap komuniti Asia termasuk tindakan bekas Presiden Donald Trump menggelarkan Covid-19 sebagai ‘virus China’.
“Berterusan menggunakan ‘cacar monyet’ untuk menjelaskan wabak semasa ini akan menghidupkan semula perasaan trauma, rasisme dan stigma terutamanya terhadap orang kulit hitam dan penduduk kulit gelap lain di samping anggota masyarakat lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), malah mereka mungkin enggan mendapatkan rawatan kerana stigma tersebut,” kata Vasan.
Katanya, sesiapa sahaja boleh dijangkiti cacar monyet yang sudah lama menjadi endemik di rantau Afrika Tengah dan Afrika Barat tetapi telah merebak ke Eropah serta AS terutamanya membabitkan lelaki homoseks.
Tiada kematian dilaporkan di Eropah dan AS setakat ini.
Lebih 16,000 kes disahkan telah direkodkan di 75 buah negara sepanjang tahun ini, kata WHO Isnin lalu. – AFP