AMPANG – Seorang wanita meninggal dunia di ruang tamu kediaman pengamal perubatan tradisional di Pandan Perdana dipercayai ketika mendapatkan rawatan petang semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, polis menerima laporan daripada ibu mangsa kira-kira pukul 6.35 petang memaklumkan anaknya telah meninggal dunia.
“Mangsa yang merupakan wanita berusia 41 tahun itu telah pergi ke rumah suspek untuk mendapatkan rawatan sejak minggu lepas.
“Mangsa kemudian ditemui dalam keadaan terbaring serta tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah terbabit sebelum disahkan mati di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Farouk, susulan itu polis telah menahan seorang wanita berusia 51 tahun yang merupakan pengamal perubatan tradisional di tempat kejadian pada hari sama.
“Siasatan sedang dijalankan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
“Permohonan reman terhadap suspek akan dilaksanakan hari ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE