fbpx

Tidak bahagia, cerai-berai antara masalah kahwin tanpa kebenaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar Hiasan.

PETALING JAYA – Rumah tangga tidak bahagia dan bercerai-berai antara masalah kebiasannya terjadi melibatkan perkahwinan tanpa kebenaran, berdasarkan padangan seorang peguam syarie.

Menurut perkongsian beliau, Nurul Atikah Abd. Rashid berkata, banyak kelemahan dan keburukan berbanding kebaikan apabila bernikah tanpa kebenaran sekali gus merana hidup apabila mengikut kemahuan nafsu.

“Ibu bapa tidak restu dengan perkahwinan dan wali iaitu si bapa terutamanya enggan mewalikan anak perempuannya sebab tidak suka lelaki pilihan anak atau sebab tidak sanggup lagi melepaskan anaknya atas sebab-sebab tertentu.

“Jadi mereka yang tengah hangat bercinta sudah tidak fikir apa, terus ke Thailand dan dapatkan wali hakim di sana untuk bernikah. Wali hakim di sana lebih mudah berbanding di Malaysia.

“Di Malaysia, anak perempuan itu kena failkan kes permohonan wali enggan sekiranya wali enggan menjadi wali. Kena naik turun mahkamah, jadi bagi mereka lebih mudah kahwin di Thailand dan seumpamanya,” katanya pada hantaran Facebook.

Bagaimanapun, beliau melihat kebiasaannya pernikahan dengan cara tersebut sering berlaku masalah di kemudian hari seperti rumah tangga tidak bahagia dan bercerai-berai.

“Bila sudah bernikah di negara lain, perlu failkan kes pengesahan nikah di Malaysia. Kalau suami itu contohnya enggan failkan kes pengesahan nikah, maksudnya bila-bila masa dia boleh menceraikan isterinya yang bernikah tanpa surat nikah Malaysia.

“Nikah dan cerai tanpa ada surat nikah Malaysia, tiada dokumen sah menyatakan mereka sudah bernikah atau bercerai. Anak juga tidak boleh didaftarkan jika tiada surat nikah di Malaysia,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Nurul Atikah berkata, bagi situasi lain bernikah secara senyap tanpa kebenaran adalah melibatkan poligami iaitu isteri pertama tidak memberi kebenaran dan suami mengambil jalan mudah kononnya membawa bakal isteri bernikah di Thailand.

“Balik Malaysia buat pengesahan nikah di Mahkamah Syariah. Cukup rukun dan syarat nikah dikira sah nikah tersebut walaupun si isteri tidak bersetuju. Dapatlah si suami berpoligami walaupun bukan secara undang-undang,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI