BALIK PULAU – Polis Daerah Barat Daya sekali lagi menumpaskan kegiatan memproses dan membungkus air ketum dipercayai disimpan di dalam tandas sebuah kediaman di Kampung Seronok, Bayan Lepas di sini semalam.
Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya (IPD BD), seorang suspek lelaki berusia 40-an telah ditahan dalam serbuan yang diketuai Ketua Polis Balai Bayan Lepas.
Operasi tersebut turut dijalankan bersama anggota Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Bayan Lepas.
“Hasil pemeriksaan di dalam tandas bahagian dalam rumah saspek telah menjumpai dua bekas polisterina mengandungi 145 bungkus plastik lutsinar berisi cecair disyaki air ketum dan tiga guni putih berisi daun ketum,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Turut ditemui adalah peralatan memasak iaitu dapur, tong gas berwarna merah, satu besen plastik berwarna merah dan dua penapis berwarna kuning.
Suspek terbabit kini ditahan bagi membantu disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Terdahulu, Kosmo! Online pada Sabtu lalu turut melaporkan tangkapan empat lelaki tempatan oleh sepasukan polis Daerah Barat Daya setelah menyerbu sebuah kediaman di Sungai Ara yang disyaki menjalankan kegiatan memproses dan membungkus air ketum. KOSMO! ONLINE