fbpx

Rasmi jadi Tentera Udara AS, Sarah Hildebrand tidak didiskriminasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SARAH HILDERBRAND kini rasmi bertugas dalam pasukan tentera Amerika Syarikat.

PETALING JAYA – Bersara dari dunia seni, pelakon Sarah Hildebrand yang kini secara rasmi menyertai unit Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) tidak berdepan sebarang diskrtiminasi budaya atau agama biarpun statusnya sebagai Muslim bahkan berdarah campuran Melayu.

Sarah atau nama lengkapnya Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf Hildebrand berkata, dia masih mengamalkan ajaran Islam ketika berada di kem tentera, bahkan anggota lain turut menghormati pegangan agamanya sebagai seorang Muslim.

“Sudah tentu! Di atas fail saya juga tertera bahawa saya seorang Muslim. Malah mereka menghormati saya dan mengambil serius tentang perkara itu,” kata Sarah

Sarah, 32, berkata demikian bagi menjawab persoalan seorang pengikutnya dalam Instagram sama ada dia dibenarkan untuk mengamalkan ajaran Islam ketika berada di dalam kem tentera.

Ketika disoal tentang tujuan utama pelakon drama Pujaan Hati Kanda itu menyertai Tentera Udara AS, Sarah memberitahu semuanya disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda di seluruh dunia.

“Apa motivasi anda untuk menyertai tentera AS?” tanya seorang pengikutnya.

“Sebab pandemik (Covid-19). Perintah berkurung di Malaysia (Perintah Kawalan Pergerakan) sangat teruk,” jawabnya.

Sementara itu, Sarah juga memberitahu keputusannya untuk menyertai unit Tentera Udara AS turut mendapat sokongan daripada kedua ibu bapanya yang turut berbangga apabila Sarah menyertai pasukan tentera.

“Ibu bapa saya berasa sangat bangga! Saya bersyukur kerana mendapat sokongan penuh daripada mereka terutama mendapat doa daripada seorang ibu,” katanya.

Pada masa sama, Sarah tidak melihat faktor usia sebagai penghalang untuk dia menyertai unit ketenteraan pada umur 32 kerana beranggapan kehidupan sebenarnya baru sahaja bermula.

“Saya tidak rasa tua langsung. Kehidupan saya baru sahaja bermula,” katanya yang juga percaya keputusan yang dibuat itu telah pun diatur oleh Allah SWT.

Terbaharu, Sarah turut berkongsi saat manis apabila menerima ucapan tahniah dari Pusat Latihan Tentera Udara AS yang terletak di Richmon, Indiana oleh pegawai selepas berjaya menamatkan kursus ketenteraan, sekali gus menyertai unit ketenteraan tersebut secara rasmi.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Sarah Hildebrand atas kejayaan menamatkan sesi latihan MEPS (Military Entrance Processing Station) dan menyertai pasukan Tentera Udara AS.

“Ini merupakan satu langkah besar dalam hidup anda dan saya tidak sabar untuk melihat sejauh mana kejayaan yang mampu awak capai,” ujar pegawai Staf Sarjan Matthew Rogers.

Minggu lalu, Sarah memberi gambaran seolah-olah akan menyertai unit Tentera Udara AS menerusi beberapa keping foto yang dimuat naik dalam Instagram miliknya.

Perkongsian Sarah sekali gus menarik perhatian khalayak apabila rata-rata mengucapkan tahniah kepadanya.

Terdahulu, Sarah yang juga seorang pengacara membuat kejutan apabila mengumumkan persaraannya dari industri seni hiburan tempatan menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Instagramnya.

Sarah berharap pengumuman tersebut dapat ditularkan supaya ramai pihak tahu bahawa dirinya sudah pun bersara dari industri seni hiburan tempatan.

Selepas bersara, Sarah kemudiannya nekad meninggalkan Malaysia dan berhijrah ke AS dan enggan lagi kembali ke negara ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI