TAIPING – Pusat Koreksional Kamunting berjaya mengeluarkan lebih 12 tan metrik bekalan makanan sebulan yang dihasilkan melalui usaha pertanian dan penternakan.
Pengarah Penjara Perak, Faisal Mohamed Noor berkata, hasil pengeluaran itu adalah untuk bekalan makanan sara diri seluruh penjara di Perak dan Penjara Jawi, Pulau Pinang.
“Kita membekalkan ikan keli dan sayur-sayuran untuk dua hingga tiga kali dalam sebulan kepada seluruh penjara di Perak termasuk di Jawi, Pulau Pinang.
“Di samping itu, hasil sayur-sayuran yang dikeluarkan di pusat koreksional ini turut dijual di Pasar Awam Kamunting dengan harga rendah dan sambutannya amat menggalakkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pelancaran My Pride Kamunting Beef di Pusat Koreksional Kamunting di sini hari ini.
Sementara itu, menurut Faisal, Pusat Koreksional Kamunting merupakan salah satu institusi penjara yang menjalankan kemahiran dalam bidang agro pertanian bagi melahirkan usahawan dalam bidang itu sejak 20 tahun lalu.
“Seramai 1,500 penghuni telah menerima latihan kemahiran bersijil melalui Program Latihan Dual Nasional (SLDN) sejak 2007,”ujarnya.- KOSMO! ONLINE