SEREMBAN – Negeri Sembilan Festival 2022 (NS Fest 2022) yang merupakan acara pelancongan tahunan negeri menyasarkan hasil jualan sebanyak RM2 juta menerusi program tersebut yang berlangsung hari ini hingga 31 Julai ini di Dataran Nilai.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, festival itu yang menggabungkan tiga program tahunan utama negeri iaitu Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Sembilan (HPPNS), Bulan Usahawan Negeri Sembilan, dan Food Fest Negeri Sembilan kali kedua diadakan selepas 2019 lantaran pandemik Covid-19.
“Sasaran RM2 juta hasil jualan pada tahun ini diyakini dapat dicapai menerusi kejayaan membanggakan pada NS Fest kali pertama pada 2019 yang merekodkan hasil jualan keseluruhan sebanyak RM1.1juta,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Aminuddin, objektif penganjuran NS Fest adalah mewujudkan program promosi yang sinonim dengan Negeri Sembilan sekali gus mampu menjadi tarikan bukan sahaja kepada penduduk negeri ini malah dari negeri-negeri lain.
“Lokasi penganjuran di Nilai juga strategik di mana orang dari luar Negeri Sembilan dan berdekatan seperti Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor boleh datang merasai keunikan makanan dan budaya adat Perpatih di sini.
“Mungkin ada yang tercari-cari makanan menarik di Negeri Sembilan, kita bawakan contohnya Kodai Makan Ain dari Kuala Pilah (masakan masak lemak) dan satay tulang Jelebu,” katanya.-KOSMO! ONLINE