KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal (KPDNHEP) mengakui terdapat permasalahan berkaitan isu kartel ayam yang menyebabkan permasalahan bekalan ayam.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya difahamkan demikian oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang membuat kajian dan siasatan mengenai perkara itu.
“Saya difahamkan MyCC sudah siap buat kajian. MyCC adalah suruhanjaya jadi tidak sepatutnya saya mendedahkan apa yang telah ditemui dalam siasatan itu.
“Bagaimanapun memang kita difahamkan memang ada masalah seperti dikatakan. Secara terperinci kita tunggu MyCC buat pengumuman,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) sama ada wujud kartel dalam kalangan 20 syarikat utama pengeluar ayam di negara ini.
Terdahulu, Alexander berkata, KPDNHEP melakukan pelbagai usaha untuk menangani masalah bekalan ayam dan dan telur di pasaran.
Menurut beliau, ia termasuk menjalankan pemantauan terhadap 20 syarikat utama pengeluar ayam daging tersebut bagi mengesan lebih awal jika wujud risiko gangguan bekalan ayam.
Kata beliau, langkah kedua membuat unjuran pengeluaran ayam setiap bulan bagi membolehkan pelan tindakan dirangka jika dijangka akan berlaku kekurangan bekalan ayam.
Tambah beliau, langkah ketiga melakukan pemeriksaan harian bagi memantau kedudukan bekalan dan keberadaan ayam serta telur ayam di setiap rantaian pengedaran.
“Langkah keempat mengeluarkan arahan kepada peruncit untuk memperbaharui stok bekalan di premis masing-masing dan menghubungi pemborong dan pengeluar jika stok mereka jatuh kepada tahap pesanan semula,” katanya. – KOSMO! ONLINE