KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sedang melakukan kajian mendalam mengenai kerangka laporan maklumat pemunya benefisial bagi memastikan entiti perniagaan di Malaysia tidak disalahgunakan untuk tujuan jenayah atau melindungi aktiviti jenayah.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, maklumat pemunya benefisial adalah kritikal untuk menangani jenayah seperti pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan, rasuah serta pengelakan cukai.
“Ini juga selaras dengan penambahbaikan perundangan yang dibuat negara lain seperti Hong Kong dan Singapura.
“Sebagai contoh memperjelaskan definisi pemunya beneficial sedia ada dan memperkenalkan data tugas serta tanggungjawab penzahiran pemunya beneficial daripada anggota-anggotanya melalui Rang Undang-Undang Syarikat (Pindaan) 2022 yang sedang diperhalusi untuk dibentangkan kelak,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) sama ada kerajaan akan mengambil pendekatan yang sama seperti negara luar memperkenalkan pelaporan pemunya benefisial. – KOSMO! ONLINE