KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 1 Ogos ini bagi keputusan permohonan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony untuk menggantung pelaksanaan sabitan salah dalam kes memalsukan dokumen yang dihadapinya.
Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak hari ini.
Terdahulu semasa prosiding pihak pendakwaan berhujah bahawa permohonan Peter untuk penggantungan sabitan itu tidak mempunyai sebarang merit dan bertentangan undang-undang
Timbalan Pendawa Raya Datuk Shaharuddin Wan Ladin ketika berhujah berkata, ia adalah kerana Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi yang mensabitkan Peter pada 26 Mei lalu sudah memenuhi fungsi kehakimannya yang mana ia dianggap sebagai “functus officio” (sudah melaksanakan mandat dan fungsinya).
Menurut Wan Shaharuddin, permohonan Peter hanya boleh dibenarkan jika terdapat kesilapan perkeranian mengikut Seksyen 278 Kanun Acara Jenayah.
“Namun jelas dalam kes terbabit, tiada terdapat sebarang kesilapan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, hakim tidak boleh membenarkan permohonan itu pada peringkat ini kerana ia bertentangan Seksyen 278 Kanun Acara Jenayah (KAJ) disebabkan ia membabitkan judicial act (tindakan kehakiman) hakim.
Sementara itu peguam bela S.Devanandan pula berhujah, permohonan anak guamnya untuk menggantung pelaksanaan sabitan dibuat dengan alasan yang sama seperti dalam dalam kes Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), iaitu alasan keadaan istimewa mengikut Seksyen 311 Kanun Acara Jenayah.
Peguam itu berkata, pihaknya memohon sabitan itu digantung sehingga rayuan terhadap keputusan mahkamah yang mendapati Peter bersalah, diputuskan Mahkamah Tinggi.
Pada 11 Jun lalu, Peter memfailkan permohonan untuk penangguhan itu sehingga rayuannya diputuskan oleh Mahkamah Tinggi atas alasan untuk bertanding pada Pilihan PRU-15 yang bakal diadakan – KOSMO! ONLINE