KLUANG – Sebuah kuarters guru yang dibina di Taman Sri Lambak dekat sini, kini hanya menjadi tempat burung kelawar bersarang selepas dibiarkan kosong sejak bertahun-tahun.
Lebih menyedihkan, semua kelengkapan seperti kipas angin, lampu, paip air dan almari baju yang disediakan di dalam setiap rumah di bangunan empat itu telah dirosakkan oleh individu yang melakukan vandalisme.
Difahamkan, selepas siap dibina pada tahun 2000, terdapat beberapa keluarga menghuni kuarters itu, tetapi mula berkurangan selepas beberapa tahun sebelum terus dibiarkan kosong tanpa penyelenggaraan.
Penduduk di Taman Sri Lambak, Rosman Ahmad, 53, berkata, kuarters itu sepatutnya dimanfaatkan bagi mengelakkan pembaziran wang kerajaan.
Menurutnya, jika terus terbiar seperti itu, lebih baik ia dirobohkan dan kawasan tapak bangunan itu boleh dijadikan tempat untuk membangunkan projek lain yang lebih bermanfaat.
“Semua sedia maklum tujuan pembinaan rumah guru ini adalah untuk mengatasi masalah tempat tinggal kepada guru yang tidak mempunyai rumah di tempat mereka mengajar.
“Namun, sebahagian besar guru yang mengajar di Sekolah Menengah Bandar T6, Sekolah Kebangsaan Bandar T6 dan Sekolah Rendah Agama Bandar T6 berasal dari sekitar Kluang. Jadi mereka tidak perlukan kuarters ini,” katanya semalam.
Rosman berkata, masalah rumah guru terbiar di taman perumahan itu bukanlah kali pertama disuarakan penduduk kepada pihak berwajib, namun ia tidak menampakkan sebarang tindakan yang telah dilakukan bagi menyelesaikan isu berkenaan.
“Masalah ini bukan hanya berlaku di Taman Sri Lambak, tetapi daerah lain pun banyak kuarters guru yang kosong dan tidak digunakan,” katanya.