fbpx

Konsert penyanyi Bollywood, Jubin Nautiyal di KLCC Ogos ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JUBIN NAUTIYAL

KUALA LUMPUR – Tertangguh selama dua tahun berikutan pandemik Covid-19, akhirnya impian penyanyi lagu filem terkenal Bollywood, Jubin Nautiyal untuk menghiburkan peminat Malaysia akan direalisasikan menjelang 26 Ogos depan.

Kata penyanyi berusia 33 tahun itu, dia terharu apabila dimaklumkan jualan tiket konsert dijadualkan berlangung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) kini sudah melebihi 55 peratus hanya dalam tempoh beberapa jam kaunter online dibuka.

“Terima kasih atas sokongan semua yang membuatkan saya tidak sabar untuk bertemu penonton Malaysia yang saya difahamkan sudah lama menunggu kedatangan saya.

“Tentu saja saya berbesar hati dapat julung kali berkunjung ke Kuala Lumpur menghiburkan anda semua bersama 20 buah lagu lama dan baharu dalam pelbagai genre. Ini juga kedatangan pertama saya di Asia Tenggara.

“Istimewanya dalam persembahan mega yang turut diiringi 15 pemuzik berpengalaman, saya mahu membawa penonton kembali kepada nostalgia lampau dengan deretan lagu malar segar.

“Sudah pasti saya ingin mengajak anda sama-sama berhibur, bergelak ketawa dan menari sepanjang dua jam konsert berlangsung,” katanya menerusi sesi wawancara secara virtual.

Konsert Jubin Nautiya Live in Malaysia yang bakal menggegarkan Plenary Hall, KLCC direalisasikan syarikat Hitman Solutions selaku penganjur.

Terdahulu, Jubin yang menunjukkan kecenderungan terhadap muzik dan nyanyian seawal usia empat tahun membuat kemunculan di arus perdana pada 2014 menerusi lagu Ek Mulakat daripada filem Sonali Cable.

Selepas itu namanya sebagai penyanyi lagu filem terus memuncak apabila beberapa dendangan seterusnya yang juga daripada filem seperti Meherbani (The Shaukeens), Zindagi (Bajrangi Bhaijaan), Bandeyaa (Jazbaa), Samandar (Kia Kisko Pyaar Karoon) meraih sambutan luar biasa.

Terdahulu, bakat luar biasa figura yang berkebolehan bermain instrumen muzik seperti guitar, piano dan dram itu dalam muzik klasik serta pop dikesan lebih awal ketika dia berada dalam senarai 25 peserta X Factor India.

Tidak hairan apabila laman sosial peribadi yang menjadi gelanggang untuknya berkongsi video nyanyian diikuti hampir 10 juta peminat dari seluruh dunia.

Jubin berkata, sokongan yang diraih bukan hanya daripada pendengar, malah ramai penggiat seni muzik di India turut menjadi pencetus kemaraannya dalam dunia hiburan.

“Saya suka berkongsi kecintaan terhadap lagu dan seni muzik serta selesa membawakan karya bermesej. Antara individu yang menjadi sumber insprasi tentu saja komposer tersohor A R Rahman.

“Apabila pendengar memberikan maklum balas positif, ia sesuatu yang sangat bermakna kerana menunjukkan peminat menghargai ‘pemberian’ kita.

“Ada juga yang bertanya mengenai perasaan saya selepas menempa nama dalam industri hiburan Bollywood, hakikatnya saya tetap Jubin dari bandar kecil Dehradun di Uttarakhand, India.

“Apabila dapat memperdengarkan dendangan yang indah ini ke luar termasuk di Malaysia, saya anggap ia penghormatan membawa nama India ke persada dunia menerusi seni,” tambah penerima Anugerah IIFA bagi kategori penyanyi lagu latar lelaki terbaik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal berkata ini adalah konsert Bollywood pertama yang diadakan di Kuala Lumpur selepas fasa pandemik berakhir.

“Kami ketengahkan Jubin Nautiyal kerana keunikan vokal dan keterampilannya mendendangkan pelbagai genra lagu termasuk pop, rock, soul serta tidak ketinggalan Klasikal India.

“Tidak keterlaluan andai dikatakan Jubin sebagai artis serta boleh bersandarkan maklum balas daripada peminat.

“Hitman Solutions yang turut membawa masuk artis k-pop dan terbaru menganjurkan Konsert Bunkface sangat selektif kerana kami hanya membawakan yang terbaik buat peminat di sini.

“Daripada data, sememangnya nama Jubin semakin menyerlah di Bollywood malah akaun Instagram dan TikTok juga diikuti ramai peminat Malaysia,” katanya.

Tiket dijual pada harga RM1499 untuk Vip, RM999 (Diamond), RM699 (Platinum), RM399 (Gold), RM299 (Silver), RM199 (Bronze) dan RM149 (Upper Deck).

Pembelian boleh dibuat menerusi www.hitmanlive.com atau hubungi 012-8870669 untuk maklumat lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI