PUTRAJAYA – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini menjelaskan bahawa tindakan untuk mengharamkan penjualan rokok kepada generasi yang lahir pada dan selepas 2007 dibuat kerana tidak mahu terburu-buru selain mahu mendidik masyarakat.
Khairy Jamaluddin berkata, ada pihak yang bertanya kepadanya jika mahu mengharamkan penjualan rokok mengapa tidak terus dibuat serta merta dan mengapa perlu menunggu sehinggalah kepada generasi yang lahir pada dan selepas 2007.
“Keputusan seperti ini tidak boleh dibuat mendadak dan terburu-buru kerana kita perlukan masa untuk mendidik masyarakat, jadi kita memilih untuk menggunakan pendekatan berperingkat di mana akta berkenaan hanya terpakai kepada generasi yang lahir pada dan selepas 2007.
“Ini adalah supaya akta tersebut difahami dan diterima oleh generasi yang akan terkesan dengan peruntukan berkenaan,” katanya menerusi satu video yang dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di laman media sosialnya.
Menurut Khairy Jamaluddin, tindakan itu juga sekaligus akan memberi masa yang cukup kepada golongan tersebut untuk memahami bahawa mereka akan menjadi generasi pertama yang akan membawa penamat kepada tabiat merokok.
“Pelan pelaksanaan peruntukan Generational End Game Anti Rokok-18 (GEG) atau dikenali sebagai Gegar-18 telahpun dilancarkan bagi memastikan persekitaran bebas tanpa tabiat merokok tersedia untuk generasi tersebut.
“Antara pihak yang terlibat adalah Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi, Majlis Belia Malaysia dan badan bukan kerajaan yang telah bersama dengan KPM dalam melaksanakan setiap aktiviti di bawah pelan Gegar-18 ini,” ujar beliau.
Jelas Khairy Jamaluddin, pelaksanaan GEG sememangnya tidak boleh ditangguhkan sehingga melepasi generasi selepas tahun 2007.
“Menurut laporan Malaysia Factsheet dalam The Asean Tabacco Atlas 2019, bilangan kematian pramatang dianggarkan telah mencecah 27,000 setahun dan angka tersebut sudah pun menunjukkan peningkatan.
“Adakah kita ingin melihat lebih banyak lagi nyawa tergadai sekiranya pelaksanaan ini ditangguhkan? Sudah pasti kita tidak mahu ia terus berlaku. Jadi sekarang adalah masa terbaik untuk meluluskan akta ini,” katanya.
Terdahulu, Khairy Jamaluddin telah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat semalam.
Berdasarkan draf RUU itu, individu didapati menjual atau mempamerkan produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau kepada mereka yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya, dicadang didenda tidak lebih RM20,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE