NEW DELHI – Sebuah restoran di India menjadi tular kerana keunikannya yang menawarkan suasana makan di kawasan perkuburan, lapor program berita Liputan 6 semalam.
Berdasarkan klip video mengenainya yang dikongsikan, kafe dipercayai terletak di lokasi bernama Prindavan itu dipenuhi kubur berwarna hijau.
Setiap kotak kubur mempunyai pagar berwarna putih di sekelilingnya.
Sebatang dahan pokok yang besar turut dilihat berada di dalam restoran tersebut dan menembusi siling premis.
Pengunjung pula sedang asyik menikmati makanan tanpa menghiraukan kubur-kubur yang berada di dalam kafe itu.
“Makan di kafe kubur ala Prindavan,” demikian menurut keterangan dalam klip video berkenaan yang dikongsikan di laman TikTok.
Video tersebut menjadi tular di media sosial Indonesia dengan netizen memberikan pelbagai komen.
“Saya pasti tiada syif malam,” kata seorang pengguna.
“Tidak kisah di mana pun tempatnya. Apa yang penting, makanannya enak,” kata seorang lagi netizen. – Agensi