SELEPAS lebih tiga tahun dunia dilanda wabak Covid-19, masyarakat kini nampaknya masih belum boleh menarik nafas lega apabila terdapat pelbagai ancaman penyakit berjangkit yang lain.
Meskipun negara ini sudah memasuki fasa peralihan ke endemik, orang ramai tetap harus berwaspada bagi mengawal jangkitan wabak Covid-19 serta mengelak dijangkiti wabak lain.
Lebih membimbangkan, saban hari dapat dilihat kes jangkitan Covid-19 baharu mula menunjukkan peningkatan termasuk kemasukan ke hospital akibat wabak itu juga dilaporkan bertambah.
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, peningkatan jangkitan Covid-19 sejak pertengahan Jun lalu berpunca daripada penyebaran varian BA.5, di negara-negara seperti Singapura, Afrika Selatan dan Eropah.
Rakyat di negara ini juga sudah diingatkan supaya tidak mengambil mudah penularan kes Covid-19 melibatkan dua subvarian Omicron BA.4 dan BA.5 yang merebak dengan pantas dan berkemungkinan boleh menyebabkan gelombang keempat Covid-19 melanda.
Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah mengesyorkan individu yang sihat dan berumur di antara 50 dan 59 tahun untuk menerima suntikan dos penggalak kedua.
Pengambilan dos berkenaan adalah pilihan kumpulan berkenaan sebagai usaha melindungi diri daripada sebarang risiko yang teruk.
Menurut Khairy Jamaluddin, mana-mana individu yang mempunyai urusan atau mahu mengembara ke luar negara dan berusia di bawah 50 tahun juga dibenarkan untuk mengambil dos penggalak kedua sekiranya mereka memilih untuk berbuat demikian.
“Bagi menghadapi ancaman varian BA.5, KKM juga akan terus melaksanakan strategi sama ketika negara berdepan dengan gelombang varian Delta dan Omicron sebelum ini.
“KKM juga mempersiapkan beberapa langkah proaktif termasuk mengaktifkan semula National Covid-19 Rapid Response Task Force (RRTF) apabila peningkatan kes Covid-19 mencapai satu nilai ambang yang dikenal pasti,” katanya.
Katanya, pasukan RRTF itu ditubuhkan bagi mengelakkan krisis apabila sistem kesihatan di Malaysia semakin dibebani lambakan kes Covid-19.
Setakat ini, menurut laman CovidNow, sebanyak 294,319 atau 1.3 peratus daripada jumlah keseluruhan penerima vaksin di negara ini telah menerima dos penggalak kedua.
Perkara-perkara ini sebenarnya sudah cukup untuk memberi tanda peringatan kepada orang ramai supaya mempertimbangkan untuk mengambil dos penggalak yang kedua.
Sementara itu, Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Seri Dr. Zulkornain Ahmad berkata, melihat keadaan ketika ini, pengambilan dos penggalak kedua adalah digalakkan terutama sekali bagi golongan yang berisiko.
Katanya, meskipun pengambilan dos penggalak kedua belum diwajibkan, golongan peringkat umur yang lain juga wajar untuk mempertimbangkan pengambilan dos vaksin tersebut terutama sekali bagi mereka yang belum dijangkiti wabak Covid-19.
“Hal ini kerana, individu yang pernah dijangkiti wabak Covid-19 mempunyai sistem ketahanan badan sendiri yang mengurangkan risiko untuk diri mereka dijangkiti wabak itu semula.
“Oleh itu, bagi mereka yang belum pernah dijangkiti Covid-19 bolehlah mempertimbangkan untuk mengambil dos penggalak kedua terutama sekali sekiranya diri mereka dalam golongan yang berisiko,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.