PETALING JAYA – Penduduk di Pantai Barat dan selatan Semenanjung dinasihatkan agar berwaspada susulan amaran ribut petir dan hujan lebat pada petang ini.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam laporannya berkata, keadaan cuaca buruk itu dijangkakan berlarutan sehingga awal petang nanti.
“Ia melibatkan beberapa kawasan di Perak iaitu Bagan Datuk dan Hilir Perak termasuk Bera dan Rompin di Pahang.
“Di Selangor pula melibatkan Sabak Bernam, Gombak, Petaling dan Hulu Langat serta keseluruhan kawasan di Kuala Lumpur,” katanya.
Selain itu, hujan lebat juga diramalkan berlaku di Negeri Sembilan meliputi Jempol dan Tampin manakala di Melaka hanya tertumpu di Jasin.
“Di Johor pula membabitkan Tangkak, Segamat, Muar, Kluang, Mersing dan Kulai.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE