BANGKOK – Pihak polis sebuah wilayah di timur Thailand mengambil pendekatan berbeza apabila ‘menghadiahkan’ topi keledar kepada penunggan motosikal yang tidak memakainya berbanding memberikan surat saman, lapor laman berita Thaiger semalam.
Polis wilayah Trat memulakan pendekatan baharu itu bermula semalam.
Operasi pemberian topi keledar percuma itu dilaksanakan di laluan menghala ke sebuah sekolah di wilayah itu
Ketua polis tempatan, Somchai Yusawat berkata, pemberian tersebut adalah sebahagian daripada kempen untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan dalam kalangan penunggang motosikal topi keledar.
Pertubuhan Pentadbiran Wilayah Trat setakat ini telah membayar kos untuk sekurang-kurangnya 2,000 topi keledar untuk diedarkan bagi tujuan itu.
Somchai berkata, dia bersimpati dengan ramai keluarga yang tidak mampu membeli topi keledar kerana ekonomi yang sukar sekarang.
Beliau berkata, bagaimanapun, selepas penunggang menerima topi keledar percuma tersebut, mereka wajib memakainya.
Orang yang menerima topi keledar perlu mengimbas kod QR dan menunjukkan bahawa mereka mendapatnya secara percuma dan tidak akan disaman.
Namun jika mereka ditahan tanpa topi keledar untuk kali kedua, mereka akan disaman seperti biasa. – Agensi