UBON RATCHATHANI – Edisi ke-20 Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 membuka tirainya secara rasmi di Stadium Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat hari ini.
Penganjuran yang berpusat di salah sebuah negeri terbesar di bumi Thailand kali ini menyaksikan 228 pingat ditawarkan dalam 30 acara sukan membabitkan 11 negara dari rantau Asia Tenggara.
Penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris, Muhammad Aliff Najmi Shaani mengetuai perarakan masuk kontinjen negara bersama Chef de Mission, Profesor Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan dan sebahagian atlet serta pegawai pada upacara pembukaan tersebut.
Kapten skuad bola sepak negara itu diberi penghormatan menggantikan pembawa Jalur Gemilang iaitu atlet memanah, Nur Syaqiera Masyahikh yang tidak dapat turut serta pada upacara tersebut.
Penyertaan Malaysia kali ini membawa harapan besar dengan penyertaan seramai 275 atlet bersaing dalam 21 acara sukan untuk memburu sasaran 35 pingat emas ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi.
Ia bagi mengulangi bagi pencapaian pingat emas yang diraih sewaktu edisi 2018 di Nay Pyi Daw, Myanmar.
Peluang kontinjen negara dilihat cerah apabila berjaya mengutip sembilan pingat emas hari ini dengan keseluruhan 16 emas, 22 perak dan 12 gangsa setakat saingan hari ketiga.
Kem karate muncul sukan paling cemerlang setakat ini apabila berjaya melepasi sasaran empat pingat emas selepas memenangi enam emas selepas dua hari berlangsung acara berkenaan.
Skuad olahraga juga tidak kurang hebatnya apabila telah menyumbang lima emas termasuk gelaran ratu pecut AUG menerusi kejayaan Azreen Nabila Alias menjuarai 100 meter dan berpotensi cerah memenuhi sasaran tujuh emas. – KOSMO! ONLINE