fbpx

Elektrik terputus: Aktiviti harian tergendala, ada terperangkap dalam lif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITUASI kembali terkawal di Terminal Utama Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur, Sepang selepas gangguan bekalan elektrik pulih semalam.

PETALING JAYA – Beberapa negeri di Semenanjung Malaysia mengalami masalah gangguan bekalan elektrik selama hampir tiga jam sehingga menyebabkan aktiviti lebih enam juta pendu­duk terjejas.

Negeri yang mengalami gangguan pada tengah hari itu adalah Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka dan Pulau Pinang.

Kawasan yang paling teruk terjejas adalah di Lembah Klang meliputi Petaling Jaya, Shah Alam, Cheras, Bangi, Selayang, Cheras dan Bandar Sunway.

Selain kediaman bertingkat, kejadian itu menyebabkan ope­rasi pejabat, pusat perniagaan, sekolah dan balai polis tergendala sementara waktu.

Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang juga mengalami gangguan yang dikatakan berlaku kurang dari sejam sebelum keadaan kembali pulih seperti biasa.

KEADAAN di KLIA kembali sibuk selepas mengalami gangguan tengah hari semalam.

Malaysia Airports menerusi Facebooknya memohon maaf atas gangguan itu dan berharap penumpang yang mahu berlepas ke destinasi masing-masing supaya bersabar.

Tinjauan Kosmo! di sekitar bangunan Terminal Utama KLIA mendapati, operasi penerbangan masuk dan keluar pesawat berjalan seperti dijadualkan dan ke­semua penumpang berlepas ke destinasi masing-masing mengikut jadual yang ditetapkan. Tiada laporan penumpang yang terkandas.

Berita berkaitan: Penduduk Lembah Klang terkejut, bekalan elektrik terputus

Sementara itu, di Petaling Jaya, Seorang penduduk yang dikenali sebagai Aizul, 46, berkata, dia dan anaknya yang baru pulang dari sekolah nyaris terpe­rangkap di dalam lif ketika mereka mahu naik ke kediaman yang terletak di tingkat 10.

“Hanya beberapa saat berada dalam lif, lampu tiba-tiba ter­padam jadi kami segera keluar.

“Beberapa saat kemudian, pintu lif tertutup mujur kami berdua terselamat,” katanya yang tinggal di sebuah kondominium di Peta­ling Jaya di sini.

Di Shah Alam, gangguan bekalan elektrik menim­bulkan suasana kecoh dalam ka­langan penduduk di Seksyen 20.

Pekerja kedai makan, Abdul Ghafoor Ismail, 41, berkata, ketiadaan bekalan elektrik bukan sahaja mengganggu operasi perniagaan, tetapi menyebabkan pelanggannya terpaksa makan dalam keadaan panas.

“Saya mengetahui perkara ini menerusi media sosial. Walau apa pun saya tidak merancang menutup operasi selagi ada pe­langgan yang datang ke kedai ini,” katanya ketika ditemui.

Persiapan bagi Program Ekspo Koperasi Malaysia terjejas akibat bekalan elektrik terputus di Pusat Konvensyen dan Pemeran Antarabangsa Mines, Seri Kembangan semalam. – FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

Bagi pesara, Ibrahim Abdul Rahman, 59, pula, dia bimbang bekalan susu badan untuk cucunya berusia tiga bulan yang di­simpan di dalam peti sejuk cepat basi memandangkan ibu bayi tersebut sedang bekerja.

“Masalah ini berlaku pukul 1 tengah hari selepas saya ambil anak yang menyertai hari sukan sekolah di Kompleks Sukan Negara Shah Alam. Sebaik tiba di rumah, isteri beritahu bekalan elektrik terputus,” ujarnya.

Di Kuantan, tukang jahit, Heng Chin Tin, 71, berkata, ketiadaan elektrik menyebabkan operasi perniagaannya terganggu memandangkan dia memerlukan lampu selain cuaca panas yang membuatkan dia berasa tidak selesa

Penduduk Taman Bumi Cemerlang di Bentong, Mohamad Khazeri Hashim, 51, berkata, dia menyedari ketiadaan elektrik ketika mahu mengisi petrol di sebuah stesen minyak.

Kejadian bekalan elektrik terputus semalam bukan pertama kali berlaku dalam sejarah negara kerana pernah dilaporkan pada 1992, 1996 dan 2003.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI