NEW DELHI – Panahan petir membunuh 20 penduduk di lapan buah daerah di negeri Bihar, timur India dalam tempoh hanya 24 jam, lapor Badan Penyiaran British (BBC) semalam.
Lebih banyak kejadian ribut petir dan kilat diramal melanda bahagian utara negeri itu semalam dan hari ini.
Justeru, Ketua Menteri Bihar, Nitish Kumar meminta orang ramai supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa pengurusan bencana negeri.
Selasa lalu, Nitish mengumumkan pampasan berjumlah AS$5,008 (RM22,312) kepada ahli keluarga mangsa-mangsa yang terkorban akibat dipanah petir.
Beliau turut mengadakan mesyuarat pada minggu lalu dan mengarahkan pegawai-pegawai untuk memasang alat perangkap kilat di semua bangunan kerajaan termasuk sekolah serta hospital, lapor akhbar Times of India.
Menurut laporan sama, kedudukan geografi negeri Bihar menjadikannya sangat terdedah kepada kejadian panahan petir ketika musim hujan.
Beratus-ratus orang dilaporkan meninggal dunia di India setiap tahun akibat dipanah petir semasa musim hujan monsun.
Satu daripada penyebab kepada kematian besar tersebut adalah ramai penduduk India bekerja di luar bangunan berbanding mana-mana negara lain di dunia sekali gus menjadikan mereka terdedah kepada bahaya.
Satu kajian yang dilakukan badan bukan berasaskan keuntungan, Majlis Promosi Sistem Pemerhatian Ketahanan Iklim sebelum ini mendapati India merekodkan lebih 18 juta panahan petir antara April 2020 hingga Mac 2021.
Angka itu meningkat 34 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. – Agensi