UBON RATCHATHANI – Hanya pingat emas menjadi sasaran atlet karate wanita negara, C. Shahmalarani apabila beraksi buat pertama kali pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 di Ubon Ratchathani, Thailand.
Bagi Shahmalarani, ia adalah pencapaian yang harus diraih oleh dirinya berdasarkan statusnya sebagai pemenang pingat emas Sukan SEA Vietnam 2021 di Hanoi dua bulan lalu.
Bagaimanapun, atlet berusia 24 tahun itu enggan memandang rendah kemampuan para pencabarnya apabila turun memulakan cabaran bagi acara kumite individu bawah 50 kilogram (kg) di Hotel Konvensyen Nevada hari ini.
“Ia pastinya lebih kurang Sukan SEA kerana negara-negara yang sama akan bersaing pada AUG ini. Jadi, saya menjangkakan lawan-lawan yang sama termasuk dari Vietnam dan Thailand.
“Semestinya sasaran peribadi ialah pingat emas. Permulaan yang bagus apabila beraksi pada final Sukan SEA kerana saya ada pengalaman untuk membaca reaksi pihak lawan pada AUG ini.
“Namun, saya tidak boleh pandang rendah setiap pesaing kerana mereka sudah tahu cara saya berlawan. Mereka akan lakukan analisis dan bersedia sebelum bertarung dengan saya,” kata Shahmalarani.
Pelajar jurusan Sarjana Sains Aktuari di Universiti Sunway itu menganggap gelanggang AUG 2022 sebagai platform pemanas badan terbaik sebelum ke Sukan Perpaduan Islam 2022 di Konya, Turki dari 9 hingga 18 Ogos depan.
Sebagai rekod, Shahmalarani muncul juara Sukan SEA Vietnam 2021 selepas lawannya dari Thailand, Chippensuk Chanyanuk gagal meneruskan aksi final kerana mengalami kecederaan patah tangan.