fbpx

Pemandu terlelap dipercayai punca kemalangan enam kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan Proton X70 yang terbalik dalam kemalangan membabitkan lima lagi kenderaan di Plaza Tol Sungai Petani Selatan pada semalam.

SUNGAI PETANI – Kemalangan membabitkan enam kenderaan di Plaza Tol Sungai Petani Selatan di sini semalam dipercayai berpunca daripada pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 yang dikatakan tertekan pedal minyak akibat terlelap.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.04 petang itu, pemandu SUV berusia 32 tahun dan dua penunggang motosikal mengalami kecederaan manakala tiga lagi pemandu kenderaan lain tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila SUV Proton X70 dipandu seorang wanita merempuh belakang kereta Perodua Axia yang sedang menunggu giliran untuk memasuki lorong RFID di laluan keluar menghala ke arah bandar.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan Proton X70 hilang kawalan lalu merempuh panel elektrik milik PLUS di sebelah kiri bahu jalan sebelum terbalik,” katanya di sini hari ini.

Kata Zaidy, pada masa sama, dua penunggang motosikal yang sedang melalui lorong motosikal cuba mengelak kereta Proton X70 yang terbabas itu sehingga menyebabkan mereka hilang kawalan lalu merempuh pagar dan kendeaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima serta Toyota Vios yang diletakkan di deretan kedai bersebelahan plaza tol.

Menurutnya, siasatan awal percaya pemandu Proton X70 itu terlelap semasa menghampiri plaza tol dan tidak menyedari kakinya tertekan pedal minyak.

“Dia yang mengalami kecederaan pada kepala berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim di sini.

“Dua penunggang motosikal berusia 56 dan 62 tahun yang cedera turut dihantar ke hospital sama,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI