KUALA LUMPUR – Pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) tidak seharusnya bersikap tunggu dan lihat, namun perlu lebih proaktif serta bertindak menerusi ahli-ahli bagi membantu mengurangkan sebarang cabaran yang dialami Keluarga Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengharap agar semua NGO menubuhkan kumpulan atau bergabung untuk membentuk sebuah kumpulan yang lebih besar dan berpengaruh untuk tujuan tersebut.
Menurut Ismail Sabri, gabungan NGO Keluarga Malaysia dan Yayasan Generasi Malaysia digesa supaya turut memainkan peranan dengan menggemblengkan ahli-ahli menjadi ‘mata dan telinga’ kerajaan untuk memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia.
“Melalui penggemblengan tenaga dan usaha seperti kata pepatah Melayu ‘Muafakat Membawa Berkat’ pastinya akan membolehkan kemakmuran dan keamanan dikecapi, sekali gus mampu meningkatkan lagi Indeks Kebahagian Malaysia,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Gabungan NGO Keluarga Malaysia dan pelancaran Anugerah NGO Malaysia 2022 di sini hari ini.
Setakat hari ini, sebanyak 588 NGO telah berdaftar di bawah Gabungan NGO Keluarga Malaysia.
Pada masa sama, Ismail Sabri turut menyokong usaha penganjuran Anugerah NGO Malaysia 2022 dalam menghargai aktiviti kebajikan dan sosial yang dilakukan oleh para pemimpin NGO.
“Saya menyambut baik usaha untuk memperkenalkan anugerah ini bagi mengiktiraf kerja-kerja kebajikan dan sosial yang dilakukan NGO sepanjang tahun ini.
“Anugerah ini mendapat kerjasama Majlis Profesor Negara yang akan membuat penilaian terhadap penyertaan NGO mengikut 20 kategori yang dikenal pasti setakat inI dan kira-kira 30 sehingga 50 NGO akan diteliti serta disenarai pendekkan sebelum dimuktamadkan sebagai penerima,” ujarnya.
Tambah beliau, penglibatan semua pihak dalam memperkasakan Aspirasi Keluarga Malaysia adalah penting untuk melonjakkan tahap kehidupan Keluarga Malaysia dan seterusnya memantapkan prestasi ekonomi negara.
“Kerajaan sentiasa menyokong sebarang usaha untuk mewujudkan hubungan baik antara kerajaan dengan NGO supaya suasana aman dan harmoni dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat majmuk,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.