UBON RATCHATHANI – Atlet lompat tinggi kebangsaan, Mohammad Eizlan Dahalan menanam hasrat untuk menaiki podium buat kali kedua berturut-turut dalam penyertaannya di pentas antarabangsa tahun ini.
Eizlan, 22, sebelum ini mencipta sensasi apabila merangkul pingat gangsa pada penampilan pertamanya di pentas Sukan SEA Vietnam 2021 di Hanoi dua bulan lalu.
Kejayaan itu menyaksikan penuntut dari Universiti Malaysia Sabah tersebut kini menjadi sandaran terbaik untuk membutirkan pingat buat kontinjen negara pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 di Thailand.
Begitupun, Eizlan enggan terlalu memikirkan warna pingat akan diraihnya, sebaliknya hanya mahu memberikan aksi terbaik apabila turun ke Stadium Sisaket Sport Authority hari ini.
“Buat masa sekarang saya masih yakin dengan prestasi. Saya fokus kepada latihan dan sentiasa bersedia untuk setiap kejohanan yang saya sertai.
“Walaupun saya belum mendapat rentak latihan yang baik seperti Sukan SEA lalu tetapi saya yakin boleh buat lebih baik dalam pertandingan ini.
“Saya sasarkan untuk mendapatkan pingat. Tak kisah (warna pingat), janji podium,” kata Eizlan yang mempunyai catatan peribadi terbaik 2.18 meter (m).
Selain Eizlan, turut menggalas cabaran negara dalam acara lompat tinggi hari ini ialah penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris, Maslan Mosrin yang mempunyai rekod peribadi 2.03. – KOSMO! ONLINE