LE CASTELLET – Juara dunia Formula Satu (F1) tujuh kali, Lewis Hamilton memberi bayangan tidak akan bersara dalam masa terdekat selepas mengharungi perlumbaan ke-300 pada Grand Prix (GP) Perancis di Litar Paul Ricard Ahad lalu.
Walaupun tidak memenangi perlumbaan tersebut, namun Hamilton tetap gembira apabila berjaya menamatkan saingan di tempat kedua, di belakang pelumba Red Bull, Max Verstappen.
Pelumba Britain itu menjelaskan, dia masih memiliki kemahuan tinggi dalam sukan permotoran tersebut selepas mengadakan perbincangan bersama prinsipal Mercedes AMG Petronas, Toto Wolff berhubung kontraknya yang bakal tamat penghujung 2023.
“Mengenai kemungkinan berlumba sehingga perlumbaan ke-400, bagi saya ia sesuatu yang masih jauh. Pertama sekali, saya bersyukur kerana dapat berada di kedudukan sekarang (perlumbaan ke-300).
“Sudah tentu saya mahu kembali ke prestasi lama dengan memenangi perlumbaan, tetapi ia memerlukan masa. Bagaimanapun, akan sampai masanya kami duduk berbincang dan bercakap mengenai masa depan,” katanya.
Justeru, Hamilton tekad untuk terus membantu pasukan dalam membangunkan jentera yang lebih baik pada masa hadapan, sekali gus mencerahkan peluangnya merangkul kejuaraan dunia kelapan yang ditunggu-tunggu.
“Saya masih ada kemahuan dan tenaga yang tersisa, jadi saya sentiasa gembira serta teruja untuk bekerja bersama pasukan ini. Bagi saya, hubungan kami bukan sekadar di litar perlumbaan, namun ia lebih daripada itu,” ujarnya. – AGENSI