HULU TERENGGANU – Seorang lelaki maut manakala lima cedera termasuk isteri dan anak perempuan dalam kemalangan melibatkan dua kereta di Kilometer 5, Jalan Gaung-Kuala Ping-Teris berhampiran Kampung Tajin di sini malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 10 malam itu, mangsa, Mohd. Ruzaini Daraman, 55, yang memandu kereta Proton Wira meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan sebahagian badan.
Isteri mangsa, Suhaini Abu Bakar,47, yang juga seorang pengawal keselamatan cedera pada bahagian muka manakala kaki kanan. cucu mereka, Nur Amy Batisha Muhammad Ridwan,9, turut mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sewaktu kejadian, mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Kuala Jeneris dari pekan Kuala Berang di sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Wira yang dinaiki mereka dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.
“Sebuah kenderaan pelbagai guna, Perodua Aruz dinaiki empat sekeluarga yang dalam perjalanan ke rumah saudara di Kuala Berang gagal mengelak lalu merempuh kereta Proton Wira berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Adli berkata, impak rempuhan itu menyebabkan pemandu kenderaan berkenaan, isteri dan ibu mentuanya cedera. – KOSMO! ONLINE