WASHINGTON – Seorang lelaki di Florida, Amerika Syarikat (AS) ditahan selepas memandu kenderaan curi ke sebuah pangkalan angkasa, lapor akhbar New York Post semalam.
Malah, dia mendakwa dihantar ke lokasi berkenaan atas arahan Presiden Joe Biden untuk memberi amaran kepada pegawai-pegawai mengenai perang makhluk asing, kata pihak berkuasa.
Corey Johnson, 29, dikatakan mencuri trak Ford F-150 dan memandunya ke Pangkalan Tentera Angkasa Patrick di daerah Brevard County pada Jumaat lalu, lapor saluran televisyen WESH-2.
Semasa cuba memasuki pangkalan itu, dia mendakwa dirinya sedang dalam misi atas arahan Biden untuk memberi amaran kepada pegawai-pegawai mengenai makhluk asing yang berperang dengan naga Cina, kata pihak berkuasa.
Johnson memberitahu pihak berkuasa bahawa dia mendengar Biden memberikan arahan tersebut dalam fikirannya.
Johnson ditangkap dan didakwa atas tuduhan mencuri kenderaan bermotor, manakala ikat jaminnya ditetapkan sebanyak AS$3,000 (RM13,383), lapor WESH-2. – Agensi