MELAKA – Kerajaan negeri akan membuat siasatan terperinci membabitkan lebih 600 guru yang mengalami tekanan sehingga mengambil keputusan bersara awal untuk diketengahkan ke peringkat pusat.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, pihaknya memandang serius situasi tersebut dan telah meminta Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPNM) untuk menyiasat punca sebenar tekanan dihadapi.
Katanya, isu tersebut juga akan diketengahkan ke peringkat pusat bagi mencari jalan penyelesaian dan membantu guru-guru sedia ada.
“Kerajaan negeri mengambil serius isu guru murung, kita tahu mereka tertekan dengan bebanan kerja yang ditanggung pada hari ini dengan perubahan masa kerja serta pertambahan tugas.
“Saya ambil serius bebanan tugas guru dan akan meminta JPNM menyiasat perkara ini supaya kerajaan negeri boleh bantu serta mengetengahkan ke peringkat pusat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada hari terakhir Persidangan Ketiga Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, di sini, hari ini.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh pada persidangan DUN mendedahkan seramai 648 guru di Melaka dikenal pasti menghadapi tekanan dan kemurungan.
Menurutnya, seramai 28 guru atau 4.32 peratus dikesan berada pada tahap kemurungan menerusi saringan Skala Kemurungan, Kebimbangan dan Tekanan (DASS) dikendalikan Sektor Psikologi dan Kaunseling serta JPNM.
Muhamad Akmal (BN-Merliau) yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi, Datuk Rais Yasin memaklumkan perkara itu bagi menjawab soalan tambahan Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (BN-Ayer Limau) mengenai punca kebanyakan guru mengambil tindakan bersara awal di negeri ini. – KOSMO! ONLINE