LONDON – Wabak selesema burung yang menyerang pulau-pulau di sekitar Britain menyebabkan beribu-ribu ekor burung liar mati, lapor akhbar Metro UK kelmarin.
Kejadian itu berlaku di Kepulauan Farne, timur laut Britain.
Anggota-anggota renjer terpaksa memakai sut pelindung diri untuk mengutip bangkai burung dijangkiti. Setakat ini, lebih 3,000 bangkai telah dikutip untuk dibakar.
Pakar-pakar bimbang bahawa jumlah sebenar burung yang mati mencecah puluhan ribu ekor. Banyak lagi dipercayai jatuh dari tebing ke laut Utara selepas tidak sihat.
Burung yang bersarang dilaporkan paling teruk terjejas dengan spesies guillemot, kittiwake dan puffin muda antara bangkai yang ditemui.
Beberapa burung yang mati telah ditanda sebelum ini. Antara yang ditemui termasuk bangkai seekor burung Artik berusia lapan tahun yang terbang dari Kepulauan Ferne ke Antartika dan kembali semula sebanyak lapan kali sepanjang hayatnya.
Turut ditemui ialah seekor burung kittiwake berusia 16 tahun yang ditanda di pulau itu pada 2016.
Kepulauan Farnes yang dilindungi organisasi pemuliharaan, National Trust merupakan habitat penting antarabangsa untuk 23 spesies burung termasuk puffin dengan 200,000 ekor burung tinggal di sana.
Kebiasaannya, seramai 45,000 pelancong akan melakukan perjalanan ke Farnes pada setiap tahun tetapi pulau itu ditutup kepada pelawat awal bulan ini kerana wabak tersebut.
Kini pulau itu dikunjungi oleh anggota-anggota renjer yang bekerja untuk National Trust. Mereka ditugaskan mengeluarkan bangkai burung untuk mengelakkan pencemaran lain.
Demi keselamatan diri, mereka memakai sut pelindungan putih, sarung tangan dan pelitup muka ketika menjalankan tugas. – Agensi