fbpx

Gelaran ratu pecut AUG milik Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azreen (tengah) dan Nor Sarah (kiri) memenangi pingat emas dan perak 100m wanita AUG 2022 sebentar tadi.

UBON RATCHATHANI – Olimpian negara, Azreen Nabila Alias mengecewakan harapan tuan rumah Thailand yang mempertaruhkan atlet terbaik untuk meraih gelaran ratu pecut Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022.

Apa tidaknya, Olimpian negara berusia 22 tahun itu berjaya merampas gelaran tersebut untuk edisi AUG 2022 selepas mengungguli final 100 meter (m) wanita di Stadium Sisaket City sebentar tadi.

Menariknya, Azreen yang mencatat masa 11.88 saat (s), tidak keseorangan di ataa podium apabila turut ditemani seorang lagi pelari negara iaitu Nor Sarah Adi sebagai pemenang pingat perak dengan catatan masa 11.97s.

Pingat gangsa pula dimenangi pelari pecut Thailand, On-Uma Chattha dengan catatan masa 12.41s.

“Saya tak jangka saya dapat menang hari ini kerana saya tak berapa sihat dari semalam. Saya cuma nak lakukan yang terbaik dan pegang kata-kata jurulatih.

“Jujurnya saya agak gementar kerana saya pernah kalah dengan atlet Thailand itu (On-Uma) di Sukan SEA Vietnam 2021. Jadi gembiralah dapat tebus kekalahan saya,” kata Azreen yang berasal dari Terengganu.

Kali terakhir Malaysia menjuarai gelaran ratu pecut AUG menerusi Zaidatul Husniah Zulkifli sewaktu edisi 2016 di Singapura.

Sementara itu, Jonathan Nyepa gagal mempertahankan status raja pecut milik Malaysia dimenangi Muhammad Aqil Yasmin di Myanmar empat tahuh lalu apabila menamatkan aksi final 100m di tempat keempat menerusi catatan masa 10.56s.

Begitupun, kem olahraga negara tetap boleh berbangga apabila turut memenangi satu lagi pingat emas hari ini melalui atlet lontar peluru lelaki, Kamal Farhan A. Rahman selepas membuat balingan sejauh 16.47m yang merupakan rekod peribadinya.

Selain itu, Malaysia turut memenangi lima lagi pingat perak melalui Nurul Hidayah Lukman (baling tukul besi), Mohamad Amirul Arif Mohd Azri (1,500m), Teoh Kim Chyi (400m), Muhammad Firdaus Mohamad Zemi (400m) dan R. Kirthana (lompat kijang).

Satu pingat gangsa pula dimenangi pada saingan hari pertama olahraga hari ini daripada Savinder Kaur Joginder Singh dalam acara 1,500m. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI