LAUTAN ATLANTIK – Seorang juruterbang merakam imej memaparkan cahaya misteri berwarna merah dari atas Lautan Atlantik, lapor akhbar The Sun semalam.
Gambar yang dimuat naik di laman sosial Reddit itu mendapat perhatian netizen yang melontarkan pelbagai komen.
Sesetengah netizen berkata, cahaya itu menyerupai dimensi lain seperti paparan dalam siri televisyen Netflix, Stranger Things.
Bagaimanapun, penjelasan sebenar fenomena tersebut mengecewakan ramai peminat objek terbang tidak dikenali (UFO). Ini kerana cahaya merah itu dikatakan berasal dari kapal nelayan.
Menurut beberapa pakar, nelayan biasanya menggunakan beratus-ratus lampu LED di sekeliling kapal untuk menarik perhatian ikan saury untuk memudahkan mereka menangkapnya menggunakan pukat.
Ikan saury adalah makanan laut popular dalam beberapa masakan Asia Timur dan juga dikenali sebagai mackerel pike.
Lampu LED diletakkan di bawah air yang memantulkan cahaya dan meningkatkan sumber makanan semula jadi untuk dijadikan umpan.
Teknik ini dikatakan digunakan di kawasan Lautan Atlantik berhampiran Kepulauan Bermuda yang menjadi habitat ikan saury Atlantik. – Agensi