JAKARTA – Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) meramalkan potensi bencana hidrometeorologi di Indonesia meningkat dari bulan Julai hingga September tahun ini, lapor saluran berita Liputan6 semalam.
“Potensi bencana juga semakin meningkat pada Julai, Ogos dan mungkin berlarutan sehingga awal September di mana pada masa yang sama kita akan mengalami bencana hidroteteorogi basah iaitu banjir, banjir kilat dan banjir tanah runtuh, sekali gus hidrometeorologi kering termasuk kebakaran hutan dan kemarau,” kata Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana BNPB, Abdul Muhari.
Menurut Abdul, potensi bencana sudah mula dilihat menerusi data BNPB pada 18 hingga 24 Julai lalu.
Jelas beliau, pada minggu sebelumnya, kekerapan banjir masih lebih tinggi daripada kebakaran hutan dan kemarau. Bagaimanapun pada minggu ini, kekerapan kebakaran hutan sebaliknya lebih kerap berbanding kejadian banjir.
“Orang ramai diminta sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga di kawasan yang terdedah kepada kebakaran hutan selain di kawasan yang sering dilanda banjir,” katanya.
BNPB secara berterusan atau berkala telah menghantar mesej kesiapsiagaan, amaran awal dan usaha mitigasi yang mesti dilakukan kepada kerajaan tempatan.
Akan tetapi, Abdul berkata bahawa perkara yang paling penting sebenarnya adalah kesiapsiagaan masyarakat.
Contohnya bagi orang yang tinggal di sepanjang sungai atau di kawasan berhampiran dengan tebing dengan kecuraman yang tinggi. – Agensi