PETALING JAYA – Pelakon terkenal Azhar Sulaiman berlapang dada dengan segala teguran khalayak berhubung isu penampilan seksi anak perempuannya, Kasih Iris Leona.
Azhar, 51, menerusi satu hantaran Instagram menzahirkan dilema yang sedang menyelubungi dirinya.
Kata Azhar, setiap ibu bapa pasti mempunyai masalah yang dicetuskan anak-anak dan dia juga tidak terkecuali.
“Syukur alhamdulilah, saya ada anak seperti Leona. Ya, dia suka pakai seksi, sudah cakap jangan seksi tetapi tetap bergambar begitu.
“Setiap ibu bapa akan ada pelbagai jenis masalah dengan anak-anak mereka. Anda namakanlah segala masalah yang seorang anak boleh menconteng arang kepada ibu bapanya,” tulis Azhar.
Pelakon yang terkenal menerusi filem Impian itu bagaimanapun reda dengan segala masalah yang ditimbulkan, sementelah sikap mereka tidak seteruk yang berlaku pada zaman mudanya dahulu.
Bahkan katanya, apa yang berlaku terhadap anak-anak adalah cerminan hidupnya ketika zaman bujang.
“Pada saya biarlah jadi begini daripada begitu. Jika saya renung semula zaman muda, lebih teruk daripada sekarang.
“Anak-anak adalah balasan kepada apa yang kita buat semasa zaman bujang dulu. Saya reda dan harap dapat menguruskan keluarga dengan lebih baik,” ujarnya.
Sebelum ini, Leona sering menjadi bahan bualan netizen apabila kerap memuat naik foto dan video dengan penampilan mencolok mata.
Penampilan Leona yang juga pempengaruh media sosial itu mendapat kecaman ramai.
Lebih teruk, bapanya juga tidak terlepas daripada terkena tempias perkara tersebut.
Sebagai informasi, hasil perkahwinan Azhar bersama Chempaka Emalin Pahamin, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Kasih Leia Ixora , 22, dan pasangan kembar, Andika Rees Pahamin dan Leona yang masing-masing berusia 20 tahun.- KOSMO! ONLINE