SHAH ALAM – Kerajaan negeri tidak menyediakan skim pembinaan rumah di atas tanah hak milik sendiri bagi golongan B40.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, dasar perumahan mampu milik yang ditawarkan khusus kepada golongan itu adalah program pemilikan Rumah Selangorku.
“Ia termasuk penyediaan bagi skim penyewaan iaitu skim sewaan Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Smart Sewa.
“Antara skim bantuan perumahan yang disediakan oleh kerajaan negeri adalah program pemilikan rumah mampu milik di bawah Program Rumah Selangorku,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd. Imran Tamrin (BN-Sungai Panjang) berhubung kerajaan Selangor menyediakan isu dana atau skim khas untuk bantuan bina rumah di atas tanah milik sendiri bagi golongan B40.
Jelas Rodziah, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tahun ini sudah meluluskan pembangunan sebanyak 675 unit Rumah Selangorku.
“Ia melibatkan empat projek untuk ditawarkan sebagai program pemilikan kepada golongan sasaran.
“Projek itu kini dalam proses mendapatkan kelulusan pembangunan daripada jabatan dan agensi teknikal sebelum memulakan pembinaan di lapangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE