PETALING JAYA – Selama 10 tahun isteri tidak diberi nafkah oleh suami malah, wanita ini reda dan bersabar apabila perlu menanggung perbelanjaan menggunakan pendapatan sendiri.
Bagaimanapun, selepas mengetahui lelaki dicintainya itu mempunyai wanita lain, menggigil tubuh badan sehingga hari-hari dia menyalahkan dirinya sendiri.
Kisah sedih itu diceritakan oleh peguam syarie, Saidah Zakaria mengenai situasi dialami oleh seorang wanita yang mendapatkan nasihat daripada beliau berhubung permasalahan rumah tangga dihadapi bersama suami.
“Ada pelanggan beritahu, sakit tiada nafkah ini tidak sama dengan sakit apabila mengetahui pasangan tiba-tiba ada orang lain. Selama 10 tahun tidak diberi nafkah, dia yang tanggung semua dan dia boleh sabar sahaja, reda.
“Tetapi apabila tahu suami ada orang lain, menggigil tubuh badan. Hari-hari menyalahkan diri sendiri. Apa lagi yang tidak cukup, apa lagi yang kurang, apa lagi itu ini,” katanya pada hantaran di media sosial baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan wanita tersebut supaya mendapatkan rawatan psikologi sebelum mengambil sebarang keputusan untuk bercerai.
“Sebab sekarang dia rasa berada pada titik paling bawah. Rawat diri sendiri dahulu, semoga Allah permudahkan dia,” katanya. – KOSMO! ONLINE