PETALING JAYA – Koperasi Serbaguna Anak-Anak Selangor Berhad (Kosas) menyasarkan untuk tempoh tiga tahun ini, sekurang-kurangnya 100 koperasi turut serta menjalankan perniagaan kedai kopi premium Richiamo Coffee.
Untuk permulaan, enam koperasi telah menerima surat tawaran iaitu Koperasi Universiti Putra Malaysia Berhad, Koperasi Kumpulan Johawaki Berhad, Koperasi Kakitangan Bank Rakyat Berhad, Koperasi Usahawan MyOKU Selangor Berhad, Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad dan Koperasi MyUsahawan Selangor Berhad.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, langkah dilaksanakan Kosas sebagai pemegang lesen induk menceburi bidang makanan dan minuman (F&B) sejajar dengan harapan kementeriannya untuk melahirkan lebih ramai usahawan.
“Kita memang mahu mewujudkan satu sistem licensee (pemegang lesen) selain sistem ‘payung’ di mana ada induk dan anak. Justeru penting pengawasan dan penilaian serta bagaimana melihat untung dan rugi perniagaan.
“Jadi dengan konsep ini, kita dapat melihat perjalanan perniagaan anak buah mereka,” katanya pada Pelancaran Richiamo Coffee Kelana Jaya dan Majlis Menandatangani Perjanjian Pelantikan Kosas Sebagai Master Licensee (Pemegang Lesen Induk) di sini hari ini.
Noh berkata, sehubungan itu, beliau mengarahkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mempermudahkan pinjaman bagi pembukaan kedai kopi premium tersebut kepada koperasi yang berminat.
“Kita boleh membantu dan soal pemilihan (koperasi) itu bukan kita tetapi Kosas. Sebagai contoh, apabila mahu membuka cawangan baharu, tidak perlu membuat permohonan baharu. Kalau tidak, ia akan mengambil masa dan ia boleh diluluskan secara pukal,” katanya. KOSMO! ONLINE