KOTA BHARU – Polis merekodkan sebanyak 2,271 kes jenayah komersil dengan jumlah kerugian RM46.9 juta melibatkan pelbagai kes ‘scammer’ di Kelantan sejak lebih dua tahun lalu.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, jumlah tersebut direkodkan dalam tempoh Januari 2020 hingga Jun lalu dan sebanyak 1,995 kes atau 87.8 peratus melibatkan jenayah penipuan dalam talian.
Menurutnya, bagi kes keseluruhan jenayah penipuan dalam talian atau ‘scammer’ awal tahun ini hingga 30 Jun lalu, sebanyak 110 kes membabitkan kerugian RM3.83 juta dilaporkan.
“Penipuan melalui platform e-dagang mencatatkan sebanyak 93 kes dengan kerugian RM663,000 manakala penipuan pelaburan dalam talian pula 67 kes melibatkan jumlah RM1.23 juta.
“Selain itu, 64 kes melibatkan kerugian RM413,000 bagi pinjaman tidak wujud manakala 59 kes penipuan kerja sambilan dalam talian dengan jumlah rugi sebanyak RM1.05 juta,” katanya semasa berucap pada Majlis Jelajah Semenanjung Malaysia Bersama Polis Diraja Malaysia dan Datuk Awie sempena Kempen Anti Scam 2022, Lets Fight Scammer Together di Mydin Mall di sini semalam.
Mengulas lanjut, menurut Muhamad Zaki, sebanyak 18 kes dengan kerugian RM348,000 direkodkan bagi kes love atau parcel scam, 17 kes bagi penipuan penyamaran di media sosial dan lapan kes tipu peraduan cabutan bertuah.
Katanya, bagi mengurangkan kadar jenayah scammer di Kelantan, pihaknya mengadakan kempen Anti-Scam untuk memberi kesedaran kepada masyarakat secara lebih meluas terutama melibatkan jenayah penipuan dalam talian.
Katanya, menerusi kempen itu, polis akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai modus operandi terbaharu yang sering digunakan bagi memastikan masyarakat tidak terlibat dengan sindiket penipuan.
Tambahnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan tawaran untuk menyewakan akaun bank atau menyerahkan kad mesin pengeluaran automatik secara pos atau bersemuka kepada individu bagi mengelak daripada dipergunakan menjadi keldai akaun. – KOSMO! ONLINE