PETALING JAYA – Ramai yang masih tidak tahu mengenai keradangan prostat atau prostatitis, berlaku akibat jangkitan kuman yang kerap melibatkan lelaki berusia muda atau pertengahan.
Pengamal perubatan, Dr. Ahmad Ramdan Zainordin berkata, malah ada juga lelaki tidak tahu kelenjar prostat selain menyamakan prostat dengan testis.
“Selain itu, ada yang tahu penyakit prostat hanya melibatkan golongan berumur lanjut sahaja.
“Mana-mana lelaki pun boleh dapat keradangan prostat atau prostatitis, cuma risiko lebih tinggi melibatkan lelaki yang aktif secara seksual kerana jangkitan kelamin boleh merebak ke kelenjar prostat jika tidak dirawat awal,” katanya pada hantaran di media sosial baru-baru ini.
Jelasnya, lelaki yang berasa sakit ketika ejakulasi adalah sesuatu yang tidak normal.
“Apatah lagi jika ia hadir dgn gejala lain seperti kekerapan buang air kecil, kencing tidak lawas, sakit belakang dan pinggang dan keluar cecair luar kebiasaan dari zakar,” katanya. – KOSMO! ONLINE