KANGAR – Rakyat Perlis diseru membantu kerajaan menangani krisis bekalan makanan dan mengusahakan tanah lapang di halaman rumah masing-masing dengan tanaman sayur.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah, langkah itu dapat membantu mengurangkan inflasi dan kebergantungan kepada komoditi makanan yang diimport.
Titah baginda, kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah melaksanakan perancangan sewajarnya sebelum ini bagi menangani masalah tersebut.
“Seperti mana semua sedia maklum, Perlis mempunyai keluasan tanah yang terhad untuk tujuan pertanian dan kebanyakan aktiviti ini dijalankan bagi tujuan sara diri,” titah baginda pada Majlis Penyerahan Stesen Penyelidikan Hibrid Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Yayasan Tuanku Syed Sirajuddin (YTSS) di MARDI Perlis hari ini.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, golongan petani juga sewajarnya mengalihkan fokus pertanian mereka ke arah penghasilan benih tanaman yang bermutu tinggi selepas ini.
“Beta sarankan kepada semua golongan berkepentingan khususnya petani untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada agensi kerajaan khususnya MARDI dalam meningkatkan lagi kualiti dan kuantiti hasil tanaman mereka.
“Kelebihan yang terdapat di negeri Perlis juga wajar dimanfaatkan oleh kerajaan untuk memperkukuhkan lagi industri penghasilan benih tanaman dengan membangunkan infrastruktur dan jaringan yang dapat memperkukuhkan lagi sekuriti makanan negara,” titah baginda.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Sirajuddin turut mengharapkan agar stesen penyelidikan hibrid tersebut dapat menjadi mercu tanda dan tumpuan komuniti pertanian khususnya para penyelidik, petani mahu pun pihak industri untuk bersatu dalam penghasilan benih tanaman berkualiti tinggi.
“Harapan beta adalah dengan adanya stesen penyelidikan ini, ia dapat mengurangkan lagi jurang pendapatan golongan petani dan pekerja serta menjadikan bidang ini sebagai perniagaan yang menguntungkan,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE